Saturday, November 12, 2011

HAJI - AMALAN HATI, JASAD & HARTA


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


HAJI - RUKUN AMALAN HATI, JASAD DAN HARTA

Sama-samalah kita berdoa agar Allah menggolongkan kamu dan aku didalam golongan yang beruntung. Di dalam golongan yang juga mengaku bahawa Tuhan kami ialah Allah, dan mereka memilih jalan yang lurus. Bahawa sesungguhnya Haji ke Baitullah adalah satu ASAS Islam.

Haji menjadi RUKUN yang FARDHU, menjadi WAJIB atas setiap Muslimin wal Muslimat yang berkuasa untuk berkunjung kesana sekali seumur hidupnya. Begitulah juga dengan Umrah....

Firman Allah dalam surah Ali Imran : 97

وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلۡبَيۡتِ مَنِ ٱسۡتَطَاعَ إِلَيۡهِ سَبِيلاً (٩٧)  

dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya (97)




Dalam firman Allah yang lain, surah Al-Haj 27 – 30 : 

وَأَذِّن فِى ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَجِّ يَأۡتُوكَ رِجَالاً وَعَلَىٰ ڪُلِّ ضَامِرٍ يَأۡتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ (٢٧) لِّيَشۡهَدُواْ مَنَـٰفِعَ لَهُمۡ وَيَذۡڪُرُواْ ٱسۡمَ ٱللَّهِ فِىٓ أَيَّامٍ مَّعۡلُومَـٰتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلۡأَنۡعَـٰمِ‌ۖ فَكُلُواْ مِنۡہَا وَأَطۡعِمُواْ ٱلۡبَآٮِٕسَ ٱلۡفَقِيرَ (٢٨) ثُمَّ لۡيَقۡضُواْ تَفَثَهُمۡ وَلۡيُوفُواْ نُذُورَهُمۡ وَلۡيَطَّوَّفُواْ بِٱلۡبَيۡتِ ٱلۡعَتِيقِ (٢٩) ذَٲلِكَ وَمَن يُعَظِّمۡ حُرُمَـٰتِ ٱللَّهِ فَهُوَ خَيۡرٌ لَّهُ ۥ عِندَ رَبِّهِۦ‌ۗ وَأُحِلَّتۡ لَڪُمُ ٱلۡأَنۡعَـٰمُ إِلَّا مَا يُتۡلَىٰ عَلَيۡڪُمۡ‌ۖ فَٱجۡتَنِبُواْ ٱلرِّجۡسَ مِنَ ٱلۡأَوۡثَـٰنِ وَٱجۡتَنِبُواْ قَوۡلَ ٱلزُّورِ (٣٠)

Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. (27) Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. (28) Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu. (29) Itulah yang wajib dipatuhi dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum Allah maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya dan dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak, kecuali yang dibacakan kepada kamu (tentang haramnya), maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta. (30)




Rasulullah bersabda dalam hadis sahihnya :

 بُنِيَ الْإِسْــلاَمُ عَلَى خَمْسٍ: شَـهَـادَةِ اَنْ لاَ إِلَـهَ إْلاَّ اللهُ وَاَنَّ مُحَمَّدًا رَسُـوْلُ اللهُ وَإِقَامِ الصَّـلاةِ, وَإِيْتَـاءِ الزَكَاةِ, وَحَجِّ الْبَيْتِ, وَصَـوْمَ رَمَضَـانَ  
“Islam itu di bina atas lima asas: iaitu : Bersyahadah bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu adalah rasul utusanNya, kerjakan solat, keluarkan zakat, berhaji ke Baitullah dan berpuasa sebulan Ramadhan”

Rasulullah bersabda dalam hadis mutafaq :
مَنْ مَلَكَ زَادًا وَرَاحِلَـةً ثُمَّ لَمْ يَحُجَّ عَلَيْـهِ أَنْ يَمُوْتَ إِنْ شَــاءَ يَهُودِيًّـا اَوْ نَصْـرانِيًّـا
“Sesiapa yang mempunyai bekal dan kenderaan, kemudian dia tidak juga menunaikan haji, tiada lah halangan baginya untuk memilih matinya sebagai seorang Yahudi atau Nasrani”

Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda :
مَنْ حَجَّ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُــقْ خَرَجَ مِنْ ذُنُوْبِـهِ كَيَوْمَ وَلَدَتْـهُ أُمُّـــهُ
“Barangsiapa yang menunaikan hajinya sedang ia tidak bercakap kotor dan tidak berlaku jahat, ia keluar dari dosa-dosanya, suci seperti bayi yang baru dilahirkan”

Nota : tidak bercakap kotor juga dalam erti syarak ialah tidak membicarakan sesuatu yang tidak memberi munafaat kepada Muslimin. Manakala tidak berlaku jahat seperti menjaga auratnya yang dituntut dijagainya disisi syarak. Kalau ini dapat di hayati dalam mengerjakan hajinya… dia akan mendapat ganjaran hajinya seperti dia baru dilahirkan.

HAKIKAT HAJI.

Berkata Imam Al-Ghazali Rahimahullah: Allah Taala mengumpamakan perjalanan keberangkatan ke haji itu seperti perjalanan keberangkatan ke Akhirat. Setiap urusan untuk perjalanan hendaklah ia menggambarkan urusan untuk perjalanan ke Akhirat yang menyamainya atau setanding dengannya.

1. Ketika mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga, kawan dan rakan, hendaklah seseorang itu membandingkan seolah-olah dia berada dalam keadaan mengucapkan selamat tinggal semasa menghadapi sakaratul maut.

2. Ketika menyediakan perbekalan untuk berhaji, hendak lah seseorang itu membayangkan bekalannya untuk di bawa ke Akhirat.

3. Ketika mengingati jauhnya perjalanan, hendaklah dia membayangkan jauhnya perjalanan ke Akhirat yang bakal ditempuh.

4. Ketika membimbangi dan khuatir akan halangan dan soal jawab dengan pihak imigresen dan kastam serta rintangan dalam perjalanan itu, hendaklah dia membayangkan kebimbangan dan kerisauan yang bakal ditempuh dalam perjalanan ke Akhirat. Di bimbangi akan soal Munkar dan Nakir dan siksanya yang akan dirasainya di dalam kubur kelak.

5. Ketika memakai kain ihram yang serba putih, hendaklah membayangkan dia sedang dipakaikan kain kapan atas dirinya sendiri sesudah kematiannya.

6. Ketika bersaei diantara Bukit Safa dan Bukit Marwah, hendaklah dia membayangkan betapa gusar dan bimbangnya dia ketika berulang alik antara dua neraca mizan (timbangan) di Akhirat untuk menentukan mana satu neracanya yang berat.

7. Ketika berwukuf di Arafah, hendaklah menggambarkan betapa keadaannya berwukuf di Padang Mahsyar kelak.

8. Ketika seseorang haji itu sampai di Makkah Asy-Syarif, mudah-mudahan Allah tambahkan kemuliaannya, hendaklah dia membesarkan Allah dan mengAgungkannya sepenuh hati.

Inilah ringkasan hakikat HAJI yang saya petik dari maksud perbicaraan Imam Al-Ghazali Rahimahullah untuk kita dalami maksudnya. Memang tepat apa yang dianjurkan oleh Imam Al-Ghazali Rahimahullah dan semuga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya, dan dibalas nya dengan baik atas petunjuk kepada kaum Muslimin.

TATATERTIB SEORANG HAJI

Seseorang yang naik haji hendaklah bersifat lemah lembut, merendah diri, bertenang dalam perjalanan ke hajinya. Kerana dia sedang menuju ke Tuhannya yang bersifat Maha Kuasa, Maha Perkasa dan Maha Tinggi. Dia menuju untuk menyahut panggilan Tuhannya. Dia sedang menyiapkan dirinya untuk menjadikan dirinya sebagai TETAMU ALLAH. Dia berserah diri di bawah perlindungan Allah, Tidak seharusnya seseorang itu bersifat sombong, mengangkat diri dan berlebihan dalam serba serbi untuk menunjukkan kekuasaan dia atau kekayaan dia kerana di bimbangi dia terusir dari pandangan ALLAH Ta’ala. Na’zuzubillahi minzaalik….




No comments:

Post a Comment