Monday, October 17, 2011

AQIDAH - DEFINASI DAN KEPENTINGAN



الســــلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاتــــه

بســــــم الله الرحمن الرحيم


DEFINASI AQIDAH

Aqidah pada umumnya adalah merupakan Perkara yang wajib dibenarkan oleh hati dan jiwa menjadi tenteram terhadapnya sehingga lahir satu keyaqinan yang kukuh tanpa digoncang atau dicampuri oleh sebarang syak atau keraguan.

Aqidah di dalam Islam merupakan perkara asas (usul) dimana tumbuh cabang-cabang syariat darinya. Syariat pula ialah amalan-amalan yang berupa ibadat dan muamalat yang dianjurkan oleh Islam hasil dari aqidah tersebut. Dengan sebab inilah ilmu aqidah itu juga dinamakan sebagai ilmu Usuluddin atau yang bermaksud ilmu usul agama.

Oleh itu, di dalam agama Islam aqidah merupakan suatu perkara yang telah ditetapkan malah wajib bagi pegangan aqidah itu disertakan dengan kepercayan dan keyaqinan yang kukuh tanpa sebarang syak. Timbulnya sebarang syak merupakan suati keraguan (dzan) dan bukan aqidah. Dalilnya seperti firman Allah ayat2 berikut:


1. Surah Al-Hujurat : 15
إِنَّمَـا الْمُؤْمِنُوْنَ الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا بِـاللهِ وَرَسُـــوْلِـهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَـابُوْا(15) الحجرات 15
“Bahawa sesungguhnya orang yang sebenarnya beriman adalah mereka yang beriman dengan Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak syak (ragu-ragu)”

2. Dalam surah al-Baqarah : 2
ذَالِكَ الْكِتـَابُ لاَرَيْبَ فِيــهِ هُدًا لِلْـمُتَّقِيْنَ(2) البقرة 2
“Kitab (Al-Quran) ini yang tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa”

3. Surah At-Taubah : 45
وَارْتَـابَتْ قُلُوْبُهُمْ فَهُمْ فِى رَيْبِهِمْ يَتَرَدَّدُوْنَ(45) التوبــة 45
“Dalam hati mereka ragu-ragu, oleh itu mereka berbelah bagi dalam keraguan mereka”

Perlu ditegaskan disini juga bahawa masalah-masalah aqidah yang wajib diiktiqadkan merupakan perkara-perkara ghaib yang tidak dapat disaksikan dengan mata sepertimana diterangkan oleh Allah sendiri dalam memuji orang-orang yang beriman dalam surah Al-Baqarah : 3
الَّذِيْنَ يُؤْمِنُوْنَ بِــالْغَيْبِ(3) البقرة 3
“Mereka yang beriman dengan (perkara-perkara) ghaib”


Sehubungan dengan ini,kita dapati bahawa dalam rukun Iman menyatakan Allah itu ghaib dan begitu juga para malaikat, hari akhirat, qada’ dan qadar termasuk dalam perkara-perkara yang ghaib. Meskipun para Rasul dan kitab-kitab dapat disaksikan atau dilihat tetapi apa yang sebenarnya dikehendakki dalam kontek keimanan terhadap Allah ialah hakikat bahawasanya Rasul itu adalah utusan dari Allah, begitu juga kitab-kitab adalah diturunkan oleh Allah.. Ini semuanya adalah perkara-perkara ghaib… Allahu a’lam


No comments:

Post a Comment